Ketidak pedulian manusia terhadap persekitarannya sering berkait rapat dengan persoalan
world view…
cara seseorang itu memandang dan menilai kehidupannya.
Atau dalam bahasa yang lebih mudah, tidak jelas tujuan dan maksud hidupnya.
Hingga tiada apa yang perlu difikirkan kecuali 5 rukun hidup iaitu makan, minum, kerja, rehat dan seks.
Mereka ini dibahasakan oleh al-Quran sebagai “seperti binatang ternakan bahkan lebih sesat adanya”.
Ada telinga enggan mendengar, ada mata enggan melihat,
ada akal enggan berfikir… lantas dibahasakan oleh al-Quran sebagai binatang ternak.
Jika harimau, ada jugalah megahnya dia di rimba sebagai raja.
Tetapi binatang ternak… seburuk-buruk tamsilan untuk manusia yang diberi akal tetapi masih hidup dengan falsafah binatang.
Apakah falsafah binatang ternak?
Anda pernah melihat kambing keluar kandang pada waktu pagi dan berazam untuk menjadi kambing yang lebih baik dari semalam?
Pastinya tidak! Setiap pagi, apa yang difikirkan oleh seekor kambing ialah, apa aku nak makan hari ini,
di mana aku nak berehat, siapa bini aku hari ini, dan itu sahaja.
Malang sekali, tidak sedikit manusia hidup dengan falsafah yang sama.
Malah kerana dia manusia, bukan hanya berfikir hari ini mahu makan apa,
bahkan hari ini mahu makan siapa!
Binatang ternak yang tertambat di batang pokok menunggu saat sembelihan, bagaimana kelakuannya?
Jika anda mengasah pisau, apakah lembu kambing itu akan kecut perut memerhatikan pisau atau matanya sibuk merenung rumput hijau yang lazat segar mengelilingi dirinya?
Pasti sahaja, lembu dan kambing hanya berfikir tentang rumput dan perut.
Malang sekali, bagi manusia yang hidupnya sekadar untuk makan, minum, kerja, rehat dan kahwin,
jika kita ceritakan kepadanya tentang perancangan musuh terhadap kita, penindasan dan korupsi,
ketidak adilan dan kebejatan sosial, apa yang mampu difikirkannya hanyalah soal rumput, makanan
dan segala kepentingan diri yang berkaitan dengan perutnya semata-mata.
Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan lebih sesat lagi adanya. Sudah diberi akal, tetapi masih hidup seperti binatang.